SK Seri Kundang
Kampug Melayu Seri Kundang, 48050 Sungai Buloh,Selangor.
Aktiviti murid secara online.
1bestari.net
Kuiz
PNM
Kuiz
4
Skor Kuiz
Tulis Cerpen
Cerpen Saya
Melukis & Mewarna
Music Games
more games
Chat
e-Operasi
emisOnline
hrmis 2.0
apdm
Gaji Online
Portal Guru
egTukar
Naik Pangkat
RPT/RPH
Sudut Ibu bapa
Pibg.net
Markah Peperiksaan Murid SAPS
Download Nota Padat
Tips & Petua
No Hotline
Bacaan Surah-surah Al Quran daripada 54 Qari seluruh dunia. Sila Klik
Sistem e-attendance PKPP SKSK 2020|
Online Booking Room Of SKSK 2020
Disiplin | Peraturan | Hukuman
.
TATACARA DISIPLIN MURID PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN ( DISIPLIN SEKOLAH ) 1959 1.0 PENDAHULUAN Sekolah bukanlah sebagai badan pengajar sahaja. Ia mempunyai tujuan mendidik dalam ertikata yang lebih luas. Murid-murid sepatutnya mendapat bukan sahaja pengetahuan dan kebolehan intelektual yang diuji melalui peperiksaan, tetapi juga kebolehan intelektual, mutu moral dan social secara amnya, di mana ketiga-tiga aspek ini tidak diuji secara formal. 2.0 PIHAK BERKUASA DISIPLIN Peraturan 4, dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959, Guru Besar adalah orang yang bertanggungjawab ke atas disiplin sekolah dan bagi maksud itu, mempunyai kuasa ke atas guru-guru dan murid-murid di sekolah itu. Walau bagaimana pun, di bawah peraturan-peraturan tersebut Guru Besar diperuntukkan untuk menurunkan kuasa disiplin dan kuasa menjalankan hukuman kepada guru-guru lain yang ditetapkan olehnya bagi maksud itu dan dalam menurunkan kuasa itu tertakluk kepada syarat-syarat atau had-had yang difikirkannya patut. Selain Guru Besar, Pendaftar Sekolah atau Pendaftar Besar juga diberi kuasa bagi menjaga disiplin di sekolah-sekolah. Apabila menerima perintah bertulis sama ada dari Pendaftar Sekolah atau Pendaftar Besar, Guru Besar di bawah kuasa yang diberi oleh Peraturan 6 dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959, hendaklah segera mematuhi perintah itu. 3.0 PERATURAN YANG HARUS DIPATUHI DALAM MENJALANKAN KUASA DISIPLIN 3.1 Di samping kuasa dan budi bicara yang diberikan kepada pihak berkuasa disiplin sepertimana yang diperuntukkan dalam undang-undang kecil, dalam pelaksanaannya, pihak berkuasa disiplin haruslah mengamalkan keadilan. Peraturan-peraturan yang lazimnya disebut sebagai ‘natural justice’ hendaklah juga diberi perhatian. 3.2 Hak untuk didengar (hearing). Peraturan ini menentukan bahawa seseorang itu mempunyai hak untuk dibicarakan iaitu hak untuk membela diri dan ini merangkumi keseluruhan maksud prosedur yang adil sehinggalah dalam hal-hal mengendalikan masalah kanak-kanak. 3.3 Peluang yang diberi haruslah munasabah. Seseorang itu haruslah mendapat peluang yang menyatakan kesnya dan dia juga belum boleh didapati bersalah atas sebarang salah laku yang membolehkan dia dihukum atau hukuman berkenaan yang dicadangkan itu lebih berat dan melampau daripada apa yang sepatutnya dia terima. 3.4 Walau bagaimana pun, pihak berkuasa disiplin tidaklah diharapkan bertindak seperti di mahkamah. Sesuatu kes itu boleh didengar secara lisan atau dimaklumkan secara bertulis dan ini bergantunglah kepada sifat dan beratnya tuduhan itu. 4.0 LANGKAH-LANGKAH YANG HARUS DIAMBIL 4.1 Langkah Pertama bagi tindakan disiplin adalah menerima aduan. Tanggungjawab Guru Besar adalah mempastikan kebenaran aduan itu dan mempastikan sama ada kes itu bersabit (prima facie) atau tidak. Langkah berikutnya adalah membuat siasatan awal serta mengumpul bukti serta menentukan kebenaran dan bukti-bukti tuduhan. 4.2 Langkah Kedua membuat kesimpulan dari bukti-bukti untuk menjawab kes bersabit (prima facie) itu. Sebelum mengenakan sebarang perintah hukuman, peluang yang munasabah hendaklah diberi kepada murid itu untuk menafikan kesalahannya dan menegakkan kebenarannya. 4.3 Langkah Ketiga haruslah diambil untuk membolehkan murid beri sebab ( To Show Cause ) jika murid itu menafikan kesalahannya. Maksud beri sebab di sini adalah pihak berkenaan itu diberi peluang untuk menyatakan kesnya, iaitu untuk membela diri dan memberi bukti bahawa tuduhan-tuduhan yang dihadapkan itu tidak betul. 4.4 Langkah Keempat mestilah diambil untuk membuat keputusan dan dapatan Guru Besar. 4.4.1 Dapatan Guru Besar Sekiranya murid itu boleh memberi keterangan yang memuaskan dan dia dapat membebaskan dirinya daripada tuduhan yang dihadapkan kepadanya, maka Guru Besar boleh membuat keputusan bahawa tuduhan itu tidak ada bukti dan tindakan selanjutnya adalah tidak perlu. 4.4.2 Pengakuan atau Didapati bersalah Jika murid mengaku melakukan salah laku, sebagai alternatif, selepas mendengar keterangan Guru Besar mendapati bahawa tuduhan itu mempunyai bukti-bukti, maka dia hendaklah membuat keputusan terhadap hukuman yang hendak dikenakan terhadap pesalah itu. 5.0 FAKTOR ASAS YANG PATUT DIRANGKUMKAN DALAM DASAR GURU BESAR TERHADAP HUKUMAN Mengenai kesalahan-kesalahan yang terkumpul di bawah undang-undang jenayah umum di mana jenayah yang diadukan itu tidak dilakukan dalam kawasan sekolah, walau pun mengambil tindakan disiplin tidak dilarang, adalah lebih baik bagi Guru Besar menunggu hasil keputusan mahkamah sebelum tindakan disiplin dikenakan. 5.1 Masalah Hukuman Adalah jelas berbagai-bagai salah laku mungkin berlaku di sekolah, di mana hukuman-hukumannya tidak dapat ditentukan dengan berpandukan kepada undang-undang sebab undang-undang telah meletakkan kuasa mutlak kepada Guru Besar untuk memilih hukuman yang sesuai. Setelah mendengar sesuatu kes itu, Guru Besarlah orang yang lebih memahami akan fakta-fakta dan keadaan-keadaan dalam masa salah laku itu terjadi. Dialah yang lebih menyedari akan sifat dan latar belakang murid yang melakukan kesalahan itu. Dengan itu, Guru Besarlah juga orang yang amat sesuai menentukan apakah hukuman yang paling setimpal bagi sesuatu salah laku yang berkaitan. Tindakan-tindakan disiplin kerana kesalahan yang dilakukan hendaklah bersifat adil dan tegas supaya dengan tindakan-tindakan itu, murid dapat dibimbing ke jalan yang menghindarkannya dari melakukan perbuatan-perbuatan salah laku yang sama. Dengan demikian dapatlah murid itu memahami perlunya ia berbudi bahasa, bermurah hati, mempunyai keluhuran diri dan juga mempunyai sifat merendahkan diri dan juga mempunyai aturan dan disiplin yang baik. Faktor-faktor penting yang patut dijadikan asas dalam dasar Guru Besar menyeragamkan tindakan mengenakan hukuman adalah seperti berikut ; 5.1.1 Beratnya Kesalahan Lebih serius salah laku itu maka lebih beratlah hukuman yang dikenakan. Cara pemeringkatannya bergantung kepada tujuan orang yang membuat kesalahan itu dan setakat mana perbuatan itu membahayakan. Lebih kuat tujuan sesuatu perbuatan salah laku itu, lebih meningkat bahaya yang didatangkan, maka lebih beratlah pula hukuman yang patut diberikan. 5.1.2 Perwatakan dan latar Belakang Murid. Dalam menentukan apa hukuman yang sesuai, Guru Besar tidak sepatutnya berpuas hati setakat menyesuaikan hukuman dengan kesalahan. Pertimbangan hendaklah diberi kepada perwatakan, sejarah dan latar belakang murid yang melakukan kesalahan. Hukuman yang dikenakan tidak sepatutnya disesuaikan dengan kesalahan tetapi juga kepada yang melakukan kesalahan itu. 5.1.3 Kekerapan Kesalahan dan kesungguhan Murid Yang melakukannya. Lebih kerap kesalahan itu berlaku atau lebih bersungguh-sungguh murid itu melakukannya maka lebih beratlah hukuman yang boleh dikenakan. 6.0 PENGERTIAN HUKUM Hukuman boleh diertikan sebagai kuasa mengenakan hukuman yang menyakitkan bagi sesuatu salah laku. Terdapat tiga unsur utama dalam pengertian hukuman ; 6.1 Ia hendaklah merupakan aspek hukuman yang bersifat memberi balasan kepada sesuatu kesalahan yang telah dilakukan. 6.2 Hukuman hendaklah dikenakan oleh seseorang yang berkuasa ke atas yang dihukum. 6.3 Hukuman melibatkan sesuatu yang tidak menyenangkan dikenakan ke atas yang bersalah, ia boleh jadi tindakan fizikal bersifat positif yang menyakitkan, atau menafikan sesuatu yang disukainya. 7.0 NILAI HUKUMAN 7.1 Pertimbangan hendaklah dibuat oleh Guru Besar tentang keperluan mengenakan sesuatu hukuman yang boleh memberi kesan mencegah bukan sahaja kepada mereka yang berkemungkinan melakukan kesalahan yang serupa, tetapi juga kepada yang melakukan salah laku itu sendiri supaya mereka tidak mengulangi salah laku itu. Satu system hukuman bersifat mencegah adalah bergantung kepada beratnya hukuman itu. 7.2 Guru Besar juga hendaklah menimbangkan pemulihan sebagai satu unsur hukuman iaitu hukuman yang dikenakan sesuai dengan yang bersalah. Dalam memberi pertimbangan kepada hal ini, Guru Besar hendaklah jangan lupa akan perlunya hukuman untuk salah laku yang telah dilakukan dan perlunya hukuman itu menjadi sebagai pencegah kepada murid-murid lain yang mungkin melakukan kesalahan yang serupa. 8.0 HUKUMAN YANG BOLEH DIKENAKAN 8.1 Pembuangan Seseorang murid yang telah melakukan salah laku atau tingkahlaku yang mengganggu berulang-ulang kali dan didapati tidak berubah selepas tindakan memulihnya diambil oleh Guru Besar atau tingkah lakunya mendatangkan gangguan yang serius kepada murid-murid lain dan terhadap keseluruhan disiplin sekolah, tindakan yang sesuai diambil ialah mengarahkan pembuangannya dari sekolah. 8.2 Penggantungan Dalam keadaan di mana seorang murid itu berkelakuan liar dan mengganggu sehingga perlu ia diasingkan dari sekolah manakala menunggu hasil siasatan mengenai cara yang paling sesuai untuk menghadapinya, Guru Besar boleh mengarahkan penggantungan persekolahan murid itu. Penggantungan merupakan satu arahan di mana seseorang murid itu dilarang dari memasuki kawasan sekolah atau menikmati sesuatau kemudahan sekolah. Penggantungan adalah bersifat sementara sahaja dalam jangka masa yang berpatutan. 8.3 Lain-lain Hukuman Biasa Dalam hal ini, Guru Besar dikehendaki menggunakan budi bicaranya dengan bijak dalam mengenakan sebarang hukuman yang difikirkan sesuai. Hukuman yang pada hemat orang ramai tidak sesuai seperti yang berbentuk penyeksaan, cacian di khalayak ramai atau lain-lain hukuman yang liar hendaklah dielakkan. Di antara hukuman-hukuman biasa yang boleh dikenakan adalah seperti berikut ; 8.3.1 Hukuman Dera ( corporal punishment ) Hukuman dera ( rotan ) boleh dikenakan ( kecuali ke atas murid-murid perempuan ) tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959. Di bawah peraturan ini [ Subperaturan 5 (1) ] menjelaskannya dengan syarat bahawa ; ( a ) hukuman dera kepada murid-murid perempuan adalah dilarang ; dan ( b ) hukuman dera kepada murid lelaki oleh seseorang guru atau lain-lain kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan atau pun di punggung yang berlapik dengan pakaian dan hendaklah dijalankan hanya oleh Guru Besar atau pun dengan kuasa nyata yang diberi olehnya dalam hal yang tertentu. 8.3.2 Penahanan ( detention ) Penahanan adalah untuk mengawal murid-murid yang jahat ( delinquent ) supaya tingkah lakunya pada masa akan dating diharap dapat dipengaruhi dan dibaiki dengan cara menafikannya dari menikmati dan menggunakan masa lapangnya. Arahan penahanan itu hendaklah menentukan masa dan jumlah jam seseorang itu ditahan. 8.3.3 Denda Dalam hal sama ada denda sebagai satu hukuman terpulanglah kepada Guru Besar ingin mempertimbangkan secara teliti hubungan antara denda dengan kemampuan seseorang murid untuk membayar denda itu. 8.3.4 Amaran Amaran adalah sesuai apabila Guru besar, setelah mempertimbangkan keadaan, jenis salah laku dan kelakuan murid yang telah melakukan salah laku itu, berpendapat bahawa adalah kurang wajar dikenakan hukuman yang lebih berat lagi. 9.0 HUKUMAN DERA ( CORPORAL PUNISHMENT ) Hukuman Dera yang dimaksudkan adalah Rotan, di mana boleh dikenakan ( kecuali ke atas murid-murid perempuan ) tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959. Hukuman Dera atau Rotan adalah sangat berguna dan berkesan apabila dijalankan sebaik-baik sahaja sesuatu salah laku itu dilakukan oleh murid. Namun begitu ianya hendaklah dibuat setelah sesuatu salah laku itu telah dapat disahkan. Kesan hukuman dera bukan hanya sebagai pencegah kepada yang lain tetapi yang penting ialah kesannya ke atas yang melakukan kesalahan itu sendiri. Mengikut Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959, hukuman dera hendaklah dijalankan oleh Guru Besar sendiri atau oleh seorang guru yang berdaftar yang telah diberikan kuasa oleh Guru Besar sama ada secara nyata atau khas iaitu mengikut keadaan. Adalah mustahak bagi Guru Besar yang menurunkan kuasa hukuman dera kepada guru lain mempertimbangkan hubungan antara murid berkenaan dengan guru yang menjalankan hukuman dera itu. Dalam hal mengenakan hukuman yang menyebabkan rasa sakit seperti yang dibuat melalui hukuman dera, hukuman hanya dapat diterima jika murid itu mempunyai perasaan suka atau sekurang-kurangnya hormat kepada guru yang menjalankan hukuman itu. Murid yang berkenaan hendaklah diberi kesedaran bahawa hukuman dera itu adalah dibuat untuk kepentingan dan kebajikannya sendiri. Hukuman Dera hendaklah dijalankan dengan menggunakan rotan ringan dan pukulan rotan hanya boleh dibuat pada tapak tangan atau di bahagian punggung yang dilapik dengan pakaian. Guru Besar mestilah mencatatkan hukuman dera yang dikenakan dalam satu buku rekod khas dan menyatakan bilangan pukulan yang dikenakan, bahagian anggota dirotan ( tapak tangan atau punggung ) tarikh dan tandatangan Guru Besar dan seorang Guru yang menjadi saksi. Hukuman Rotan merupakan salah satu pilihan hukuman yang boleh dibuat oleh Pengetua dan Guru Besar bagi mengawal disiplin murid di sekolah. Hukuman ini yang kadang-kadang dilihat sebagai keterlaluan oleh sesetengah pihak, namun ianya masih diperlukan dalam keadaan-keadaan tertentu. Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran ( 1979 ) juga telah memperakukan hukuman ini di mana dalam Perakuan 76 jawatankuasa tersebut menjelaskan ; No. Perakuan 76 ; Adalah diperakukan bahawa : ( a ) Langkah-langkah yang positif hendaklah diambil untuk menyemai dan mengawas disiplin murid-murid di sekolah dengan melibatkan semua guru, dan bukan setakat Guru-Guru pengawas disiplin dan pengawas murid-murid sahaja. ( b ) Hukuman Dera kepada murid-murid seperti merotan hendaklah dikekalkan. Guru Besar dan Guru-Guru lain yang tertentu diberi kuasa untuk merotan. Di samping itu Guru-Guru tersebut hendaklah diberi garis-garis panduan dalam menggunakan hukuman dera serta cara dan bila hukuman itu boleh dikenakan. Bagi menjelaskan lagi tatacara yang perlu dipatuhi dalam melaksanakan hukuman rotan, peruntukan dalam Peraturan 4 , 5 ( 1 ) dan 5 ( 2 ) serta ( 6 ), Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959 yang digubal di bawah Ordinan Pelajaran 1957 perlu dirujuk. Peraturan 4 , memperuntukkan ; “ Guru Besar sesebuah sekolah adalah bertanggungjawab atas disiplin sekolah dan bagi maksud itu hendaklah mempunyai kuasa ke atas Guru-Guru dan murid-murid sekolah itu. ” Peraturan 5 ( 1 ), memperuntukkan ; “ Bagi maksud menjaga disiplin di kalangan murid-murid, Guru Besar hendaklah mempunyai kuasa menjalankan hukuman-hukuman sekolah yang biasa sebagaimana perlu atau bermanfaat : Dengan syarat bahawa – ( a ) hukuman dera kepada murid-murid perempuan adalah dilarang ; dan ( b ) hukuman dera kepada murid lelaki oleh seseorang guru atau lain-lain kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan atau pun di punggung yang berlapik dengan pakaian dan hendaklah dijalankan hanya oleh Guru Besar atau pun dengan kuasa nyata yang diberi olehnya dalam hal yang tertentu. Peraturan 5 ( 2 ), pula memperuntukkan ; “ Satu rekod mengandungi semua hukuman yang dijalankan di bawah perenggan ( 1 ) hendaklah disimpan secara sulit mengikut bentuk yang diluluskan oleh Pendaftar. ” Peraturan 6, memperuntukkan ; “ Guru Besar sesebuah sekolah boleh dari semasa ke semasa, tertakluk kepada apa-apa syarat dan hal yang difikirkannya patut, mewakilkan kuasa disiplin sekolah dan kuasa menjalankan hukum kepada guru-guru lain di sekolah itu atau kepada murid-murid yang ditetapkan olehnya bagi maksud itu; tetapi kecuali yang disebut di atas tidak seorang pun Guru atau murid boleh menjalankan kuasa itu melainkan dengan arahan tertentu: Dengan syarat bahawa kuasa menjalankan hukuman dera tidak boleh diwakilkan kepada mana-mana orang selain daripada guru berdaftar. ” 10.0 RUMUSAN Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dapatlah dirumuskan kuasa dan tindakan merotan seperti berikut ; Pengetua dan Guru Besar mempunyai kuasa bagi mengawal organisasi sekolahnya dan bagi menentukan disiplin, mereka mempunyai kuasa menjalankan hukuman rotan kepada murid di sekolahnya. Oleh yang demikian juga mereka adalah bertanggungjawab sepenuhnya dan memastikan usaha-usaha dijalankan bagi meningkatkan lagi mutu disiplin di sekolah masing-masing. Dalam melaksanakan hukuman rotan, pengetua atau guru besar dan guru-guru yang diturunkan kuasa hendaklah sentiasa menyedari bahawa merotan adalah sebahagian daripada proses pendidikan. Tindakan yang dikenakan mestilah difahami sebagai alat untuk mendisiplinkan murid dan bukan sebagai alat yang akan merosakkan fizikal dan mental murid. Hukuman Dera yang dimaksudkan oleh peraturan ini hanya melibatkan hukuman rotan sahaja. Hukuman ini menggunakan rotan yang ringan. Hukuman rotan tidak boleh dikenakan ke atas murid perempuan. Ini bermakna apa-apa bentuk deraan yang lain seperti menampar, mencubit, menumbuk, mengetuk dengan tangan atau menggunakan pembaris atau lain-lain alat atau lain-lain tindakan seumpamanya adalah tidak dibenarkan sama sekali di bawah peraturan ini. Hukuman rotan tidaklah boleh dilakukan sewenang-wenangnya dan perlu mematuhi peruntukan seperti dalam peraturan yang disebutkan di atas. Hukuman rotan hendaklah seboleh-bolehnya dilakukan sendiri oleh Pengetua dan Guru Besar kerana merekalah orang yang diberi kuasa membuat keputusan terhadap hukuman tersebut. Walau bagaimanapun Pengetua dan Guru Besar masih boleh menurunkan kuasa tersebut kepada guru-guru lain yang berdaftar dan perlu mematuhi tatacara yang telah ditetapkan. Tempat yang boleh dirotan hanya melibatkan tapak tangan dan punggung yang berlapik dengan pakaian. Ini bermakna kawasan lain daripada dua tersebut tidak dibenarkan. Pengetua, Guru Besar atau guru-guru yang diturunkan kuasa dalam melaksanakan hukuman tersebut hendaklah melaksanakan hukuman ini bukan berdasarkan rasa marah dan dendam tetapi untuk memberi pengajaran bahawa setiap kesalahan ada hukumannya. Hukuman rotan di khalayak sama ada di perhimpunan atau di bilik-bilik yang sedang berlangsung proses Pengajaran dan Pembelajaran adalah dilarang. Tindakan sedemikian akan menjatuhkan maruah serta menimbulkan kesan negative terhadap perkembangan keperibadian murid berkenaan. Hukuman rotan hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang guru sebagai saksi. Hayunan rotan hendaklah dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi paras bahu orang yang melaksanakan hukuman supaya tidak melukakan kulit murid itu. Selepas mengenakan satu rotan, orang yang melaksanakan hukuman hendaklah mengangkat rotan dan tidak menariknya. Sekiranya pengetua atau guru besar hendak menurunkan kuasa kepada guru lain dalam melaksanakan hukuman rotan, maka surat penurunan kuasa hendaklah dikeluarkan kepada guru tersebut. Hukuman Rotan bukanlah merupakan satu-satunya pendekatan untuk mendisiplinkan murid. Ia hendaklah digunakan sebagai langkah akhir setelah semua usaha membimbing dan kaunseling telah dilaksanakan. Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia
Peraturan Sekolah
Berikut adalah panduan-panduan serta peraturan-peraturan sekolah yang perlu diketahui, difahami dan dipatuhi oleh setiap pelajar. A. WAKTU PAGI Sekolah dijalankan dalam satu sidang. 1. Sidang Pagi Pada hari Isnin hingga Jumaat, semua pelajar mesti tiba di sekolah sebelum atau pada 7.20 pagi untuk mengikuti perhimpunan rasmi (Isnin), program ‘Silent Reading’ serta perhimpunan pagi (Selasa hingga Jumaat) dan kelas bermula pada pukul 7.40 pagi. Waktu persekolahan adalah seperti berikut: Hari Mula Akhir Isnin – Khamis 7.20 pagi 1.30 petang Jumaat 7.20 pagi 12.00 tengah hari B. TIDAK HADIR KE SEKOLAH 1. Setiap pelajar mesti hadir di sekolah pada hari-hari persekolahan. 2. Seseorang pelajar yang tidak hadir kerana sakit, ibu /bapa /penjaganya mestilah memaklumkan kepada pihak sekolah secara lisan atau bertulis. Kemukakan surat sakit (jika ada). 3. Jika seseorang pelajar tidak dapat hadir kerana sebab-sebab selain sakit, ibu /bapa/ penjaganya hendaklah memaklumkannya kepada pihak sekolah dengan mengemukakan surat. 4. Jika seseorang pelajar tidak hadir selama TIGA hari berturut-turut tanpa keterangan lisan /bertulis daripada ibu /bapa /penjaga atau tidak hadir SEPULUH hari bukan berturut-turut, pihak sekolah akan mengirim surat notis kepada ibu /bapa /penjaganya. Sekiranya pelajar berkenaan terus tidak hadir/ tiada jawapan dalam tempoh seminggu, surat amaran kedua akan dikirimkan. Selepas seminggu dari tarikh surat amaran kedua, surat amaran terakhir (surat berdaftar AR) akan dikirimkan. Jika tiada sebarang jawapan, nama pelajar boleh dipotong daripada daftar. 5. Surat yang ditulis sendiri oleh pelajar tidak sah. 6. Pelajar-pelajar tidak boleh datang lewat ke sekolah. Pelajar-pelajar yang datang lewat tanpa alas an yang wajar akan dikenakan tindakan disiplin 2. SAHSIAH DIRI 2.1 Setiap pelajar mesti mematuhi undang-undang dan peraturan sekolah. Pelajar juga dikehendaki bekerjasama dengan pihak sekolah dan pengawas, melaporkan kepada pihak yang berkuasa rakan-rakan yang melanggar undang-undang sekolah. 2.2 Sentiasa bersopan santun dan menghormati semua guru dan kakitangan sekolah. Sentiasa mewujudkan perasaan berbaik sangka dan amanah bersama rakan. 2.3 Sentiasa berusaha dalam pelajaran dan meningkatkan nama sekolah. Sentiasa berdisiplin. 2.4 Setiap pelajar dikehendaki menghormati pelawat dan ibu bapa yang datang ke sekolah dan memberi pertolongan kepada mereka, juga mengarahkan mereka ke pejabat Guru Besar atau Penolong Kanan. 2.5 Sentiasa menjaga kebersihan dan harta sekolah. Sampah yang bertaburan hendaklah dimasukkan ke dalam tong sampah, air dan lampu yang terbuka tidak bertunggu hendaklah ditutup, serta alatan perkakas yang terbiar diserahkan kepada pejabat. 2.6 Sesuatu kemalangan yang berlaku ke atas diri dan rakan-rakan di sekolah mesti dilapor segera kepada pihak berkuasa sekolah. 2.7 Jangan menggunakan alamat sekolah bagi surat peribadi. Surat yang dikirimkan ke sekolah kalau disyaki sesuatu yang tidak diingini, pihak sekolah berhak membuka dan membuat tindakan. 2.8 Jangan mengganggu pekerja sekolah semasa mereka sedang bekerja. 2.9 Sekiranya terjumpa barang berharga atau wang, serahkan kepada guru yang bertugas. 2.10 Bayaran keperluan persekolahan hendaklah dijelaskan mengikut ketetapan sekolah. 2.11 Pelajar hendaklah berkelakuan seperti pelajar yang baik, berperibadi baik dan tidak menyakiti atau mempermainkan pihak sekolah, guru dan rakan dari segi perbuatan atau percakapan. 3. PAKAIAN 3.1 Pelajar dikehendaki memakai pakaian seragam sekolah yang lengkap seperti yang telah ditetapkan ketika berada di sekolah termasuk semasa kelas tambahan dan aktiviti kokurikulum. 3.2 Tanda nama dan lencana sekolah hendaklah sentiasa dipakai. Lencana dan tanda nama hendaklah ditampal atau dijahit pada bahagian atas sebelah kiri vest dan boleh dilihat dengan jelas. Pelajar perempuan boleh memakainya pada sebelah kiri kain tudung. 3.3 Pelajar-pelajar hanya dibenarkan memakai kasut putih jenis ”kanvas” atau kain. 3.4 Sarung kaki (stoking) mestilah keseluruhannya berwarna putih. 3.5 Setiap pelajar dikehendaki berpakaian kemas dan lengkap semasa hari persekolahan mewakili dan semasa perjumpaan sekolah. 3.6 Memakai selipar dilarang semasa berada di sekolah sama ada pada waktu pagi, petang atau hari Sabtu. 3.7 Pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai barang-barang kemas dan perhiasan. 3.8 Pengawas Sekolah dan Pengawas Pusat Sumber sekolah lelaki dan perempuan berpakaian seperti yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. 3.9 Pelajar perempuan dilarang bersolek semasa di sekolah, semasa aktiviti anjuran sekolah dan semasa memakai pakaian sekolah. 3.10 Alat solek dan sebarang barang kemas tidak boleh dipakai oleh pelajar ketika berada di sekolah. 3.11 Pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai tudung berawning dan anak tudung separuh serta berenda dan hanya anak tudung berwarna putih dibenarkan. 3.12 Rambut semua pelajar mestilah diurus sempurna dan rapi. 3.13 Bagi pelajar lelaki : Bahagian belakang - rambut tidak boleh melebihi garisan di bawah cuping telinga. Bahagian depan - rambut tidak menutupi bahagian dahi. Bahagian sisi - rambut tidak menutup kedua-dua telinga atau sebahagiannya. 3.14 Pelajar-pelajar tidak dibenarkan menyimpan misai dan janggut. 3.15 Pelajar-pelajar dilarang menyimpan kuku panjang atau mewarnakannya. 4. PAKAIAN PELAJAR LELAKI 4.1 Mestilah berseluar panjang biru tua. Hanya satu poket belakang di sebelah kanan dibenarkan. Poket hadapan tidak dibenarkan kecuali poket di sebelah kiri dan kanan. 4.2 Labuh seluar tidak menutupi tumit kasut dan paling singkat ke paras buku lali. Seluar jenis ”bell bottom” tidak dibenarkan. 4.3 Seluar dari jenis kain jeans tidak dibenarkan. 4.4 Sebarang tampalan kerana koyak mestilah dari kain yang sama. 4.5 Hanya dibenarkan memakai baju berwarna putih berlengan pendek. 4.6 Baju lengan panjang dibenarkan dengan syarat sama ada dikenakan butangnya atau dilipat dengan kemas sedikit ke atas siku. 4.7 Baju sentiasa dimasukkan ke dalam seluar semasa memakai pakaian seragam. 4.8 Baju berbentuk jubah adalah dilarang sama sekali. 4.9 Pelajar dilarang memakai serban di setiap masa persekolahan. 4.10 Pelajar dibenarkan memakai songkok berwarna hitam sahaja. Topi ketayap atau lain-lain hiasan kepala adalah tidak dibenarkan. 4.11 Pelajar dibenarkan memakai tali pinggang hitam, lebarnya tidak melebihi 3.5 cm, berkepala sama lebar dengan tali pinggang dan tanpa apa-apa hiasan. 5. PERATURAN KELAS / BILIK DARJAH 5.1 Pelajar mesti bertanggungjawab ke atas kebersihan bilik darjah masing-masing dan menjaga keselamatan peralatan dan perabot. 5.2 Pelajar dikehendaki berada dalam kelas semasa guru mengajar dan mengikutinya dengan penuh perhatian. 5.3 Pelajar tidak dibenarkan keluar daripada kelas tanpa kebenaran guru dan diberi PAS KELUAR KELAS. 5.4 Pelajar tidak dibenarkan tinggal di dalam kelas pada waktu rehat kecuali dengan kebenaran guru. 5.5 Pelajar tidak dibenarkan makan dan minum di dalam kelas. 5.6 Pelajar tidak dibenarkan keluar dari kelas semasa pertukaran mata pelajaran kecuali dengan kebenaran guru. 5.7 Pelajar mestilah berbaris dan berjalan dengan teratur dalam barisan jika hendak ke makmal komputer, makmal sains, bengkel, bilik muzik, pusat sumber dan lain-lain. 5.8 Lampu dan kipas hendaklah dimatikan apabila kelas tidak digunakan. 6. PERATURAN DI KANTIN 6.1 Pelajar dikehendaki beratur semasa membeli makanan. 6.2 Pinggan, mangkuk, sudu dan gelas kepunyaan kantin hendaklah diletakkan di tempat yang disediakan. 6.3 Sisa makanan dan pembungkus makanan mestilah dibuang ke dalam bakul sampah oleh pelajar itu sendiri. 6.4 Pelajar yang membawa bekal dikehendaki makan di kawasan kantin. 6.5 Pelajar tidak dibenarkan membawa keluar makanan dari kantin. 7. PERATURAN DI TANDAS 7.1 Pelajar mestilah menggunakan tandas pelajar sahaja. 7.2 Kebersihan tandas hendaklah dijaga. Jangan menconteng dinding tandas dan merosakkan alat-alat di dalamnya. a. Tandas yang telah digunakan mestilah ditarik pamnya dan tutup semula paip air. b. Jangan buang sampah, kertas, pembalut makanan atau apa sahaja ke dalam lubang tandas. 8. PERATURAN DI PUSAT SUMBER 8.1 Pelajar dilarang membawa buku, majalah dan bahan bacaan keluar dari pusat sumber tanpa kebenaran. 8.2 Buku-buku dan majalah atau bahan bacaan yang dipinjam tidak dibenarkan diconteng atau dirosakkan. 8.3 Pelajar yang hendak meminjam buku hendaklah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak pusat sumber. 8.4 Buku pinjaman yang dirosakkan atau hilang hendaklah diganti. 8.5 Pelajar tidak boleh membawa masuk beg ke dalam pusat sumber melainkan alat-alat tulis dan buku yang dibenarkan oleh pihak pusat sumber. 8.6 Pelajar dilarang membuat bising dan mengganggu kawan serta makan dan minum di dalam pusat sumber. 9. PINJAMAN BUKU TEKS KERAJAAN 9.1 Semua buku pinjaman hendaklah dibalut dan dijaga dengan baik. 9.2 Jangan menconteng dan merosakkan buku-buku pinjaman, sekiranya rosak atau hilang hendaklah diganti. 9.3 Tidak dibenarkan meminjamkan buku pinjaman kepada orang lain atau dijual. Buku-buku mesti dibawa ke sekolah seperti yang dikehendaki oleh guru. 9.4 Pelajar yang menghilangkan buku teks tanpa menggantikannya tidak akan diberi pinjaman pada tahun berikutnya. 9.5 Sekiranya pelajar terjumpa buku teks di mana sahaja, hendaklah menyerahkannya kepada guru SPBT atau pejabat sekolah. 9.6 Pelajar yang bertukar sekolah keluar negeri Perak hendaklah memulangkan buku pinjaman kepada guru kelas. 10. HARTA BENDA SEKOLAH 10.1 Pelajar tidak dibenarkan menggunakan alatan sekolah tanpa kebenaran Guru Besar. Kerosakan alatan hendaklah dilaporkan kepada guru kelas atau pengawas. 10.2 Pelajar tidak dibenarkan membawa keluar atau memindahkan kerusi dan meja dari bilik darjah tanpa kebenaran guru atau pihak sekolah. 10.3 Pelajar tidak dibenarkan memegang sebarang kunci sekolah. 10.4 Pelajar dilarang menggaris, menconteng dan merosakkan harta benda sekolah. 10.5 Pelajar dilarang menggunakan telefon sekolah atau menerima panggilan telefon . Pihak sekolah akan menerima pesanan dari ibu bapa atau penjaga sahaja. 10.6 Pelajar yang didapati merosakkan harta benda sekolah dikehendaki membayar ganti rugi mengikut nilai yang ditetapkan oleh guru besar. 10.7 Pelajar hanya dibenarkan menggunakan telefon awam pada waktu rehat dan selepas sekolah dan untuk kegunaan mustahak sahaja. 10.8 Pelajar dinasihatkan menggunakan telefon awam dengan cermat dan berhemah. 11. PERGERAKAN SEKOLAH 11.1 Pelajar dikehendaki meneliti selalu papan kenyataan sekolah supaya mengetahui perkara yang dijalankan dari semasa ke semasa. 11.2 Pelajar dikehendaki memasuki badan-badan sukarela sekolah, kelab dan persatuan anjuran sekolah, mengambil bahagian dalam permainan dan sukan. Pengecualian hanya dengan pengesahan doktor. 11.3 Pelajar dikehendaki datang menepati masa untuk sesuatu aktiviti yang dijalankan dan dikehendaki berpakaian lengkap seperti yang dikehendaki oleh guru penasihat sesuatu persatuan, kelab dan unit beruniform. 11.4 Kehadiran diri penting, sekiranya tidak dapat hadir hendaklah memberitahu guru yang berkenaan dengan segera. 11.5 Seseorang pelajar yang dipilih untuk mewakili sekolah dalam sesuatu acara tidak boleh membantah. Mestilah menyediakan diri dan berusaha bersungguh-sungguh. 12. PERGERAKAN LUAR SEKOLAH 12.1 Pelajar yang telah bertukar alamat hendaklah segera melaporkan kepada guru kelas. 12.2 Pelajar tidak dibenarkan memasuki pasukan luar atau mengambil bahagian dalam pergerakan luar tanpa kebenaran pihak berkuasa sekolah. 12.3 Setiap pelajar mestilah menjaga nama baik sekolah ,berperibadi baik dan berpakaian yang sesuai semasa berada di khalayak ramai. 12.4 Pelajar tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam majlis sosial yang kebaratan seperti menari di khalayak ramai atau menyertai peraduan ratu cantik. 12.5 Pelajar dilarang memasuki mana-mana badan pergerakan sosial tempatan tanpa kebenaran Guru Besar. 13. KESALAHAN BERAT [Surat Pekeliling Iktisas Bil 9 / 1975 K. P 8543 / Vol. 2 (55)] 13.1 Pelajar tidak dibenarkan membawa senjata yang berbahaya dan bahan letupan ke sekolah dalam apa bentuk dan rupa sekalipun. 13.2 Dilarang keras mengancam, mengugut, memeras dan membuli pelajar lain ataupun menjalankan diskriminasi dalam apa bentuk dan rupa sekalipun. 13.3 Pelajar dilarang menghisap rokok, ganja atau bahan yang mengkhayalkan. Dilarang membawa, mengedardan menggunakan dadah dan minuman keras dalam apa bentuk sekalipun. 13.4 Tidak boleh melanggar undang-undang sekolah, Pejabat Pendidikan dan Kementerian Pelajaran. 13.5 Dilarang memasuki, membantu atau menjadi ahli pertubuhan haram atau mengadakan pakatan untuk menentang undang-undang negara yang telah ditetapkan. 13.6 Dilarang mencuri dalam bentuk apa sekalipun. Dilarang menyorok alat-alat sekolah dan hak perseorangan rakan-rakan. 13.7 Tidak boleh melawan secara lisan atau perbuatan. Lebih-lebih lagi menggunakan kekerasan terhadap pihak berkuasa sekolah, guru, dan Pengawas Sekolah. 13.8 Dilarang membuat perjumpaan atau mesyuarat menggunakan alatan dan bangunan sekolah tanpa kebenaran pihak sekolah. 13.9 Dilarang membaca, menyimpan, membeli, melihat dan mengedar gambar-gambar, alat-alat dan majalah lucah. 13.10 Dilarang menjadi ahli penyokong atau pekerja mana-mana parti politik. 13.11 Dilarang berjudi dengan apa jua sekalipun yang menggunakan pertaruhan wang atau benda-benda yang berharga. Begitu juga bertaruh di dalam sesuatu permainan atau perlawanan. 13.12 Tidak boleh membuat kenyataan apa sahaja berhubung dengan sekolah melalui sebaran am, atau menulis ke mana-mana jabatan tanpa kebenaran pihak berkuasa sekolah, Guru Besar dan Penolong Kanan. 13.13 Dilarang mengambil bahagian dalam pertandingan luar kecuali mendapat kebenaran Guru Besar. 13.14 Tidak hadir ke sekolah tanpa sebab akan diambil tindakan seperti berikut : Berturut-turut Berkala a) Surat Amaran 1 Hari ke 3 Hari ke 10 b) Surat Amaran 2 Hari ke 10 Hari ke 20 c) Surat Amaran Hari ke 17 Hari ke 40 terakhir (Berdaftar Akuan Penerima) d) Tukar Sekolah Hari ke 31 Hari ke 60 14. TINGKAHLAKU TIDAK BERDISIPLIN YANG PERLU DIJAUHI 14.1 TINGKAHLAKU JENAYAH • Berjudi • Mencuri • Melawan/mengancam/memukul/mencederakan guru. • Melawan/mengancam/memukul/mencederakan pengawas. • Memeras ugut. • Membuli. • Menganggotai kumpulan haram / kongsi gelap. • Menyalahgunakan dadah. • Membawa senjata merbahaya • Mencabul kehormatan • Mengancam/memukul/mencederakan murid lain. • Mencerobohi bilik khas/kedai koperasi/pejabat/sekolah/asrama. • Mengedar dadah. • Menunjuk perasaan /berpiket /mengganggu ketenteraman sekolah. • Bertaruh secara besar-besaran. • Bergaduh sesama murid. • Bermain mercun. 14.2 TINGKAHLAKU LUCAH • Bercumbu-cumbuan dan berdua-duaan. • Berkhalwat. • Membawa bahan-bahan lucah ke sekolah. • Menggunakan kata dan perbuatan lucah. • Melukis dan menulis kata-kata dan gambar-gambar lucah. 14.3 KEKEMASAN DIRI • Berambut panjang/ fesyen rambut keterlaluan dan bertentangan dengan peraturan sekolah. • Berkuku panjang. • Bermisai dan berjanggut. • Memakai pakaian tidak mengikut peraturan sekolah. • Memakai barang-barang perhiasan yang dilarang ke sekolah. 14.4 TINGKAHLAKU TIDAK MEMENTINGKAN MASA • Berkeliaran di kawasan sekolah. • Datang lewat ke sekolah. • Lewat ke perhimpunan. • Makan di kantin di luar waktu rehat. • Keluar dari kawasan sekolah tanpa kebenaran. 14.5 TINGKAHLAKU KURANG SOPAN DAN BIADAP • Berkelakuan kasar terhadap guru. • Berkelakuan kasar terhadap pengawas. • Berkelakuan kasar terhadap murid. • Berbahasa kesat. • Menyimpan rokok. • Menghisap rokok. • Mengganggu pengajaran dan pembelajaran • Tidak menghormati guru. • Tidak menghormati pengawas • Mengintai murid-murid perempuan 14.6 TINGKAHLAKU MUSNAH • Merosakkan harta benda sekolah. • Merosakkan harta benda Guru Besar dan guru-guru. • Merosakkan harta benda kantin sekolah. • Merosakkan harta benda murid. 14.7 TINGKAHLAKU TIDAK JUJUR / MENIPU • Menipu yang melibatkan wang. • Menipu melibatkan kepercayaan. • Meninggalkan buku dalam kelas. 14.8 PONTENG • Ponteng kelas. • Ponteng sekolah. • Ponteng perhimpunan. • Ponteng kegiatan luar bilik darjah / kokurikulum. • Ponteng ujian. • Ponteng peperiksaan. 15. BENTUK-BENTUK HUKUMAN YANG BOLEH DIKENAKAN (KEBENARAN GURU BESAR) 15.1 Nasihat. 15.2 Amaran dan rotan sekali (Surat kepada ibu bapa) 15.3 Rotan dua kali. 15.4 Rotan tiga kali. 15.5 Digantung sementara persekolahan. 15.6 Ditukar ke sekolah lain. 15.7 Dibuang sekolah. 15.8 Dilaporkan kepada pihak sekolah. 16. PERATURAN LALU LINTAS Murid-murid hendaklah mematuhi peraturan lalulintas yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, Majlis Keselamatan Negara dan Polis Diraja Malaysia. 16.1 Berbasikal 16.1.1 Murid-murid dilarang menaiki basikal di kawasan sekolah pada bila-bila masa pun. Basikal mestilah dituntun. 16.1.2 Semua basikal hendaklah diletakkan dengan teratur di tempat letak basikal. 16.1.3 Murid-murid mestilah memastikan basikal yang digunakan itu lengkap dengan loceng, brek, lampu hadapan, lampu pembalik merah dan kunci. 16.1.4 Semasa di jalanraya, penunggang basikal dilarang bersaing-saing, berlumba semasa datang ke sekolah atau balik ke rumah. (Jika perlu, murid-murid dinasihatkan jangan membonceng/ menumpang basikal murid lain) 16.2 Murid Yang Berjalan Kaki 16.2.1 Murid-murid yang berjalan kaki diingatkan supaya berjalan di bahagian kanan jalanraya. 16.3 Murid Yang Dihantar Ibu Bapa / Penjaga 16.3.1 Hendaklah sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah ketika turun dan menunggu kenderaan. 17. KELUAR KAWASAN SEKOLAH 17.1 Dalam masa persekolahan, murid-murid tidak dibenarkan keluar dari kawasan sekolah. Jika ada urusan penting, murid-murid itu hendaklah meminta kebenaran daripada Guru Besar / Guru Penolong kanan / Guru Bertugas Harian. 17.2 Murid-murid yangmemerlukan rawatan di hospital hendaklah mendapatkan surat rawatan hospital dari pejabat sekolah. 18. PEJABAT SEKOLAH 18.1 Murid-murid tidak dibenarkan masuk ke pejabat, kecuali ada urusan. 18.2 Jika ada urusan di pejabat, murid hendaklah mengetuk pintu pejabat terlebih dahulu. 18.3 Jika murid-murid hendak berjumpa dengan Guru Besar, terlebih dahulu perlu meminta kebenaran dari kakitangan pejabat / Guru Penolong Kanan. 19. CONTOH PAKAIAN SERAGAM MURID PAKAIAN MURID PEREMPUAN PAKAIAN MURID LELAKI SISTEM D-MERIT OBJEKTIF AM Untuk membentuk seorang murid yang : a) Berdisiplin b) Berakhlak mulia c) Berhemah tinggi OBJEKTIF KHAS Untuk : 1. Mempertingkatkan mutu disiplin murid-murid ‘SEMASA’. 2. Melatih diri murid-murid supaya sentiasa patuh kepada undang-undang dan peraturan sekolah. 3. Mengesan dan mengawasi tingkah laku murid-murid sepanjang masa persekolahan. 4. Mengelakkan murid-murid daripada melakukan kesalahan-kesalahan disiplin berulang kali. 5. Dijadikan panduan atau maklum balas kepada guru-guru dalam menyediakan Sijil Berhenti Sekolah dan Surat Akuan Sekolah. CARA PELAKSANAAN 1. Setiap murid akan dibekalkan dengan sekeping kad D-Merit. 2. Setiap murid dimestikan membawa kad D-Merit tersebut ke mana sahaja pada waktu persekolahan. 3. Semua guru diberi kuasa untuk memotong markah kad D-Merit murid. 4. Setiap guru yang mendapati murid melakukan kesalahan akan memotong markah pada kad D-Merit mengikut penilaian salah laku dan pelanggaran disiplin yang telah ditetapkan oleh Unit Disiplin & Pengawas. 5. Setiap guru juga diminta menandatangani dan menuliskan tarikh kesalahan yang telah dilakukan oleh murid. 6. Sistem D-Merit ini memberi peluang kepada murid-murid untuk menginsafi kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan. 7. Sistem D-Merit ini juga akan menimbulkan rasa gerun kepada murid untuk melakukan kesalahan. 8. Markah akhir murid akan dicatatkan ke dalam Buku Penilaian Pencapaian Sahsiah Murid. 9. Lembaga Disiplin berkuasa menimbangkan segala kes rayuan pelajar. PERINGATAN 1. Tindakan adalah bergantung pada keperluan dan kesesuaian. 2. Lembaga Disiplin berhak menentukan lain-lain bentuk tindakan yang dirasakan sesuai terhadap murid yang melanggar peraturan sekolah. 3. Lembaga Disiplin berkuasa menimbangkan segala kes rayuan. Keputusan muktamat mengenai hal disiplin adalah hak Guru Besa sekolah. 4. Bagi setiap jenis tindakan, murid akan mengikut sesi nasihat kaunseling daripada guru kaunseling. 5. Nama pelajar berkenaan akan dicatatkan dalam Rekod Disiplin.
PEKELILING DISIPLIN dan PERATURAN
klik
SINI
Contoh Rambut dan Pakaian yang Ikut Peraturan:
Credit to
sksi2kk.edu.my
epibg.net
Home
Subscribe to:
Posts (Atom)